KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan berhubung program anjuran sebuah parti politik yang dikatakan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis hari ini telah mengesan gambar yang tular di laman media sosial yang dimuat naik oleh pemilik akaun twitter meme@knowledge9701 mengenai pelanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
“Penelitian dalam gambar tular itu mendapati terdapat beberapa individu yang tidak memakai pelitup muka pada satu majlis yang diadakan itu di Jalan Tun Ismail, Chow Kit, ibu negara.
“Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan 16 (1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (PPN) 2021.’
Justeru katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan tindakan di bawah peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.
Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata, semua individu yang hadir ke program tersebut, termasuk penganjurnya yang merupakan seorang pemimpin politik, akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Seorang pemimpin yang dijemput berucap di majlis itu juga akan dipanggil bagi membantu siasatan polis, ujarnya. – MalaysiaGazette