Zainondin Idris dibawa ke Mahkamah Majistret 2, Kuantan, Pahang hari ini

KUANTAN – Seorang tukang rumah mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang melibatkan penipuan urusan penjualan tanah dan permohonan lesen pendudukan sementara di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan  berkaitan kes penipuan berjumlah kerugian RM36,000 pada kejadian antara 2018 dan 2020 di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari dan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Aimi Adila Mohd Faizal dan  Wan Azreen Wan Zaid dan tertuduh diwakili  Mohd Azlan  Mohd Arish@ Arshad.

Zainondin, 54, mengaku tidak bersalah atas pertuhan menipu Roselan Md Noor pada 6 Disember 2020 di kedai Tomyam Seberang Balok dengan mendorong mangsa untuk menyerahkan RM24,000 bagi urusan lesen pendudukan sementara dan mendapatkan geran tanah.

Manakala tuduhan kedua, bapa kepada lapan orang anak itu pula  didakwa menipu Zainal Abidin Abdul Rahman dalam urusan pembelian dua tanah lot mendorong mangsa menyerahkan wang RM12,000 kepadanya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di kafe Pejabat Tanah Dan Galian pukul 11 pagi pada 18 Disember 2018.

Zainondin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM9,000  bagi dua pertuduhan dan kes disebut semula pada 25 Januari depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast