Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengenal pasti pegawainya yang didakwa tidak memberikan layanan baik kepada pelanggan seperti tular di laman sosial kelmarin.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengenal pasti pegawainya yang didakwa tidak memberikan layanan baik kepada pelanggan seperti tular di laman sosial kelmarin.

Pengarahnya, Dr. Rohana Johan berkata, tindakan sewajarnya akan diambil agar insiden seperti itu tidak berulang.

“Pihak HKL akan mengambil tindakan untuk penambahbaikan perkhidmatan di semua kaunter perkhidmatan yang disediakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di Facebook apabila seorang pelanggan di unit farmasi hospital berkenaan mendakwa dilayan acuh tak acuh oleh pegawai bertugas di unit tersebut.

Dia yang menggunakan nama Syafarizal Sharif pada akaun laman sosialnya itu telah membuat satu hantaran dengan perenggan pertama ditulis “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak biadap menjawablah kau kat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)”.

Ia berkait dengan mengenai urusan pemberian ubat yang kebiasaannya dibuat menggunakan aplikasi MyUbat dan akan dihantar menggunakan melalui pos.

Syafarizal turut menyertakan perbualan antara dirinya dengan pegawai farmasi terbabit.

Bagaimanapun dia mendakwa, pegawai terbabit telah membuat sesuatu yang telah menyebabkannya rasa tidak puas hati.

Dalam pada itu, Rohana berkata, pihaknya mendapati ada kekeliruan antara pengadu dengan pegawai yang bertugas di mana perkhidmatan MyUbat tidak dapat dilaksanakan bagi ubat tertentu berikutan kekangan stok bekalan yang terhad bagi ubatan tersebut.

Justeru, katanya, bagi melaksanakan aplikasi MyUbat dan penghantaran melalui pos ia memerlukan pembungkusan dua minggu lebih awal daripada tarikh pesakit menerima ubat berkenaan.

Katanya, perkhidmatan MyUbat akan dapat dilaksanakan seperti biasa apabila stok bekalan ubat kembali normal. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast