Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa cuba mencabul seorang gadis, rakan sewa serumahnya di Taman Gembira, Klang, semalam.

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila suspek dengan hanya bertuala dan tidak berbaju memasuki bilik sewa yang diduduki mangsa di rumah berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

Semasa kejadian, mangsa berusia 25 tahun berseorangan dalam bilik yang disewanya di rumah yang sama.

Suspek, yang berusia 38 tahun didakwa mendekati mangsa dan bertindak memeluk pengadu dari bahagian hadapan tetapi berjaya menolak dan menepis tangan lelaki itu lalu berlari keluar dari biliknya untuk meminta bantuan.

Ketua Polis daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Klang Selatan telah membuat tangkapan ke atas suspek.

“Suspek bekerja sebagai juruteknik di Westport telah ditahan di tempat kejadian sekitar jam 8 malam hari yang sama.

“Semakan rekod lampau dapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Kes sedang disiasat kerana mencabul kehormatan dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk diserahkan kepada pendakwa raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette