KUALA LUMPUR – MBSB Bank Bhd menawarkan bantuan pembayaran balik kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir, dan ia membolehkan mereka menjadualkan kembali atau mengambil pembiayaan semula bagi pembiayaan peribadi dan rumah.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pelanggan boleh memohon penangguhan pembayaran balik pembiayaan, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik.

“Kami memahami bahawa sesetengah pelanggan mungkin terjejas dari segi kewangan selepas dilanda banjir baru-baru ini. Kami ingin mereka tahu bahawa kami ada untuk membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bank perbankan itu, yang merupakan anak syarikat Malaysia Building Society Bhd, juga menjelaskan, ia akan terus memberikan pengecualian fi RM1 kepada semua pelanggannya bagi pengeluaran di mesin juruwang automatik (ATM) antara bank di bank-bank tempatan sehingga 31 Dis, 2022.

Azam berkata, susulan lanjutan pengecualian itu, pelanggan akan dapat terus membuat pengeluaran tunai di ATM bank tempatan sekerap yang diperlukan tanpa perlu bimbang mengenai fi tersebut.

Sementara itu, MBSB Bank telah menyertai usaha bantuan banjir antaranya dengan mengagihkan barangan makanan asas ke kawasan yang dilanda banjir dan menggerakkan 100 pekerja untuk membantu membersihkan rumah yang terjejas.

Pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran balik boleh menghantar e-mel kepada MBSB Bank di [email protected]. – MalaysiaGazette