Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Bung Mokhtar Radin menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur . Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini tidak menyentuh mengenai desas-desus akan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.

Ia berikutan kenyataan Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad yang berkata, pihaknya sedang memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN negeri itu.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, perbincangan hari hanya menyentuh mengenai permintaan parti itu untuk UMNO Johor meneruskan kerja di negeri itu.

“Bukan soal PRN, mungkin penjelasan sedikit sahaja cuma kita minta UMNO Johor buat kerja,” katanya kepada media.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad khaled Nordin ketika ditemui media pula enggan mengulas mengenai desas-desus itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur . Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2022.

“Pasal Johor, MB Johor akan turun kejap lagi,” katanya ringkas.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut sebelum ini turut menjelaskan setakat ini, sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan negeri juga tidak berbangkit.

Untuk rekod, Johor mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN susulan kematian ADUN Kempas Datuk Seri Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

Kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi. – MalaysiaGazette