Ramli Din (kiri) menyerahkan jawatan Pengarah JPJKK Bukit Aman kepada pemangkunya Datuk Mustafa Khan yang telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di PUlapol hari ini.- Gambar Ihsan PDRM Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Deputi Komisioner Datuk Dr. Mustafa Khan Abdul Samat hari ini dilantik sebagai Pemangku Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Beliau ketika ini menyandang jawatan Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK di Bukit Aman.

Beliau menerima pelantikan itu daripada Komisioner Datuk Ramli Din yang akan bersara wajib pada 13 Januari ini daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas jawatan berkenaan antara Ramli dan Mustafa Khan diadakan dalam satu istiadat di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak petang tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hadir menandatangani serta menyempurnakan majlis serah terima tugas itu.

Turut berlangsung, adalah upacara serah terima tugas bagi jawatan Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (PERKEP) JPJKK oleh Datin Fauziah Md. Khalis kepada Datin Nor Hamiah Abdul Hamid Hasani dengan disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa.

Acryl Sani menerusi satu kenyataan berkata, seluruh warga PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ramli atas khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada pasukan hampir 35 tahun.

“Ucapan syabas dan tahniah juga dititipkan kepada Mustafa Khan Abdul Samat yang akan memangku jawatan Pengarah JPJKK serta Nor Hamiah sebagai Pemangku Pengerusi Perkep JPJKK.

“Saya yakin, beliau mempunyai potensi dan kebolehan untuk meneruskan kecemerlangan pasukan serta menjunjung tugas yang diamanahkan,” tegas Acryl.- MalaysiaGazette