Othman Aziz

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan pelantikan Datuk Othman Aziz sebagai Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) yang baharu berkuat kuasa pada 28 Disember 2021.

Othman yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri korporat termasuk pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2016.

“Dengan berbekalkan pengalaman kerja di syarikat-syarikat terkemuka seperti Sime Darby Plantations, syarikat bersekutu Kumpulan Harrisons Malaysia Plantations Berhad serta sebuah anak syarikat Malaysia Mining Corporation Berhad termasuk menerajui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), saya yakin lantikan ini tepat dengan aspirasi dan visi MARA Corp bagi sama-sama menyusun dan memangkin pelaburan untuk menyokong
mandat dan agenda ekonomi Bumiputera seterusnya,” kata Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun. – MalaysiaGazette