Penduduk Kanada yang tidak divaksinasi dikenakan peraturan ketat di premis-premis tertentu. foto restobiz

OTTAWA – Wilayah Quebec Kanada akan mengenakan cukai kesihatan kepada penduduk yang tidak mengambil vaksin Covid-19.

Quebec menyaksikan jumlah kematian tertinggi Covid-19 di Kanada, kini sedang bergelut dengan lonjakan kes.

Pada hari Selasa, perdana menteri mengumumkan Quebec akan menjadi wilayah pertama di Kanada menghukum secara kewangan mereka yang tidak mengambil vaksin.

Hanya kira-kira 12.8% penduduk Quebec tidak diberi vaksin, tetapi mereka membentuk hampir separuh daripada semua pesakit di hospital.

Menurut data persekutuan, hanya lebih 85% penduduk Quebec telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Januari lalu.

Perdana Menteri Francois Legault semasa sidang akhbar berkata, individu yang belum menerima dos pertama vaksin mereka perlu membayar “sumbangan”.

Walaupun jumlah ‘sumbangan’ itu belum diputuskan, katanya, ia adalah angka yang ‘signifikan’.

“Saya fikir sekarang ini adalah soal keadilan bagi 90% penduduk yang melakukan beberapa pengorbanan,” kata Legault.

Minggu lalu, wilayah itu mengumumkan individu akan diminta mengemukakan bukti vaksinasi untuk memasuki kedai kanabis dan minuman keras milik kerajaan.

Perintah berkurung juga dilaksanakan, bermula dari jam 11 malam hingga 5 pagi setiap hari.

Pada hari Selasa, Quebec merekodkan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak 12,028.

Ia berlaku selepas 62 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Angka harian mewakili kadar yang sama dengan Januari 2021, sebelum vaksinasi dijalankan secara meluas di wilayah itu.

Peratusan pesakit Covid-19 dalam rawatan rapi yang belum menerima vaksin adalah 45%, menurut data Quebec. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast