Kim Jong-un. foto Reuters

SEOUL – Korea Utara mengesahkan telah menjalankan satu lagi ujian peluru berpandu hipersonik di bawah pengawasan pemimpinnya, Kim Jong-un.

Agensi berita negara KCNA berkata, peluru berpandu yang ditembak pada hari Selasa telah “tepat mengenai” sasaran sejauh kira-kira 1,000 kilometer (km).

Ia merupakan ujian ketika peluru berpandu hipersonik yang dilakukan oleh Korea Utara – yang boleh mengelakkan pengesanan lebih lama daripada peluru berpandu balistik.

Dua daripada ujian itu telah dilakukan dalam masa seminggu, selepas Jong-un berikrar dalam ucapan Tahun Baharu untuk memperkukuh pertahanan Pyongyang.

Korea Selatan dan Jepun kedua-duanya mengesan pelancaran tersebut, mengatakan peluru berpandu berkenaan telah ditembak dari Korea Utara ke arah laut.

Agensi berita KCNA kemudiannya mengesahkan ia adalah peluru berpandu hipersonik, yang disifatkannya mempunyai “kebolehgerakan yang unggul”.

Korea Utara sebelum ini berkata, ia telah berjaya menjalankan ujian peluru berpandu hipersonik pada 5 Januari lalu.

Pelancaran itu mendapat kecaman daripada negara-negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis, yang menggesa Pyongyang menghentikan “tindakan yang tidak stabil”.

Senjata hipersonik biasanya terbang ke arah sasaran pada ketinggian yang lebih rendah daripada peluru berpandu balistik dan boleh mencapai lebih daripada lima kali kelajuan bunyi – atau kira-kira 6,200km/j (3,850mph).

Korea Utara menyertai sebilangan kecil negara, termasuk Amerika Syarikat dan China, dalam usaha membangunkan peluru berpandu hipersonik. – BBC