Sulaiman Md Ali.

JASIN – Sebanyak 35 kawasan ternakan babi di Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Alor Gajah kini diwartakan sebagai kawasan wabak berkuatkuasa serta merta bagi mengawal penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu dicapai selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri semalam.

“Kita dah setuju wartakan kawasan ternakan itu semalam. Semua sekali (35 ladang) dan pewartaan ini sebab ianya kawasan bencana yang memerlukan kawalan ketat.

“Ianya supaya penyakit ini tidak merebak dan berjangkit bukannya untuk musnahkan babi, tapi kalau semua 45,000 ekor (babi) di kawasan itu kena penyakit (ASF) kita terpaksa musnahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya di Kompleks Japerun Bemban, di sini, hari ini.

Hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Pada 9 Januari lalu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mengumumkan kerajaan negeri Melaka bercadang mengisytiharkan Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah sebagai kawasan wabak ASF.

Setakat 8 Januari lalu, kawasan berkenaan mengakibatkan 1,864 ekor ternakan babi positif ASF dan terpaksa dimusnahkan.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Norlizan Mohd Noor mengesahkan ASF telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pewartaan sebagai kawasan wabak itu adalah kali pertama dilakukan dan tempoh pewartaan juga tidak ditentukan kerana kes ASF juga sama seperti penyakit lain termasuk Japanese Encephalitis (JE) dan Covid-19 ketika ini.

“Tiada (tempoh pewartaan) kerana sama macam lain seperti JE, pandemik Covid-19 ini pun kita tak tahu bila penyakit ini habis.

“Ini lebih kepada untuk kawalan yang akan menjadikan kawalan lebih ketat supaya ianya (ASF) tidak merebak dan terus berjangkit,” katanya. – MalaysiaGazette