Dr. Sallehuddin Ishak

KUANTAN – Sebanyak 442 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang ditutup pada Selasa lalu berikutan keadaan banjir yang kian pilih.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, seramai 67,878 mangsa banjir telah ditempatkan di PPS sepanjang tempoh 25 hari ia beroperasi.

Bagaimanapun, katanya, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan negeri diletakkan dalam keadaan siap siaga sekiranya keadaan memerlukan ia diaktifkan semula.

“Sepanjang gelombang pertama dan kedua Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 di Pahang, seramai 67,878 mangsa banjir telah berpindah ke 442 PPS.

“Namun agak mendukacitakan apabila bencana banjir yang melanda negeri ini bermula 17 Disember tahun lalu turut mengorbankan 21 nyawa,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Sallehuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas pelbagai bantuan yang dihulurkan kepada mangsa ketika dan selepas banjir.

“Ucapan terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan semua kerajaan negeri yang telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk penghantaran sukarelawan, barangan keperluan dan bantuan wang ringgit.

“Tidak dilupakan jasa anggota keselamatan, semua jabatan negeri dan Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan semua pihak yang telah membantu kerajaan negeri Pahang dalam menghadapi MTL kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette