Hamzah Zainudin modern day slavery
Datuk Seri Hamzah Zainudin.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan seramai 129,428 pendatang tanpa izin (PATI) untuk diambil bekerja secara sah oleh majikan setelah mereka berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, setakat 31 Disember lepas.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan pekerja asing terbabit kini sudah mula bekerja di dalam beberapa sektor ekonomi termasuk pembinaan, pembuatan dan perladangan.

“Apabila mereka mendaftar dengan majikan mereka, apabila kita telah luluskan mereka, maka majikan akan datang, lepaskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan mereka boleh mula bekerja.

“Semua sektor yang telah kita buka iaitu pembuatan, perladangan dan pembinaan, semua itu telah kita berikan, semua sektor ini telahpun diumumkan pada Disember lepas, kecuali sektor-sektor yang tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KDN, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 206,510 PATI telah mendaftar bagi Program Rekalibrasi Pulang dan daripada jumlah tersebut sebanyak 175,583 orang telah pulang ke negara asal.

“Pelan Rekalibrasi PATI telah dilaksanakan bermula 16 November 2020 dan sehingga 31 Disember 2021 membabitkan hasil kutipan bagi sebanyak RM99.3 juta yang terdiri daripada bayaran kompaun dan pas khas yang dikeluarkan.

“PATI yang mendaftar dianggarkan 300 ke 400 orang sehari dan kaedah ini merupakan satu kaedah kreatif berdasarkan menang-menang bagi mengurangkan bilangan PATI dalam negara,” jelasnya.

Hamzah juga tidak menolak kemungkinan berdasarkan kejayaan program rekalibrasi itu, KDN bercadang untuk meneruskan usaha tersebut pada tahun ini.

“Kementerian telah melanjutkan Program Rekalibrasi Pulang ini sehingga 30 Jun 2022,” katanya lagi. – MalaysiaGazette