Sulaiman Md Ali

JASIN – Lebih 20 daripada 124 kawasan berisiko banjir di seluruh Melaka akan dipasang siren amaran bencana, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Menurut beliau, keputusan itu dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dalam usaha memastikan rakyat terlibat bersiap sedia bagi menghadapi musibah itu pada masa hadapan.

Jelasnya, pemasangan siren itu akan memudahkan mangsa banjir membuat persediaan untuk berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS).

“Dalam mesyuarat Exco semalam, kita bersetuju untuk siren kecemasan bencana ini dipasang di semua kawasan berisiko banjir bagi membolehkan penduduk di kawasan terlibat bersedia lebih awal.

“Siren ini sebagai amaran kepada penduduk sekiranya berlaku banjir, supaya mereka dapat ‘alert’ lebih awal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kos diperlukan untuk memasang siren berkenaan, Sulaiman berkata ia belum dapat ditentukan kerana masih diperingkat penelitian.

“Ini yang kita sedang teliti dan ianya akan diselaraskan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta Unit Kerajaan Tempatan (UKT) Jabatan Ketua Menteri.

“Kosnya kita belum dapat tentukan kerana baharu semalam kita putuskan namun setakat ini kita dah kenalpasti 124 kawasan berisiko banjir.

“Tapi tidak semua tempat ini kita akan pasang siren dan kita cadang untuk buat pasang di 10 hingga 24 kawasan dahulu di dalam dan luar bandar membabitkan kawasan penduduk berkepadatan tinggi,” katanya. – Malaysiagazette