Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya ia diadakan.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan harus menyelesaikan dahulu perihal banjir yang melanda negara khususnya di Johor sebelum sebarang langkah ke arah itu diambil.

“Banjir masih belum selesai termasuk di Johor, air surut tidak bermakna selesai masalah.

“Selesaikan masalah rakyat dahulu terutamanya banjir, andai kata PRN nak diadakan juga, PH bersedia bertempur pada waktunya,” katanya kepada media selepas menghadiri program ‘back to school’ anjuran Ahli Parlimen Port Dickson itu, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin mulai tersebar PRN Johor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27.

Anwar berkata, PH perlu bersedia sekiranya PRN Johor diumumkan namun ia bukan perkara yang dibangkitkan.

“Apa kewajarannya, kes positif Covid-19 bertambah, sekatan teruk dan perjalanan kempen itu akan memihak kepada kerajaan, itu semua kita tahu,” jelas Anwar.

Dalam pada itu, PH mengecam tindakan polis yang membuka kertas siasatan perhimpunan penyerahan memorandum bantahan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Justeru itu, beliau menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menghentikan gangguan sedekimian terhadap PH.

“Bantahan keras juga saya nyatakan terhadap pihak polis atas tindakan mereka menyiasat Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berhubung siaran media sosial berusia lima tahun yang telah dikongsinya serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, yang turut dipanggil polis berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum kepada pihak SPRM.

“Langkah ini ternyata suatu bentuk intimidasi dan tekanan oleh pihak berkuasa terhadap pimpinan pembangkang dalam menyikapi gejala rasuah di negara ini,” katanya.

Pada Selasa lalu, penganjur serta peserta perhimpunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan memorandum bantahan kepada SPRM dipanggil memberikan keterangan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.

Menurutnya, kumpulan AMK itu disertai antara 20 hingga 30 peserta dan telah dipanggil memberikan keterangan secara berperingkat bagi membantu siasatan yang sedang berjalan. – MalaysiaGazette