TLDM mengadakan latihan bersama Tentera Laut Jerman (TLJ) menerusi pelaksanaan Passage Exercise (PASSEX) di perairan Selat Melaka, semalam.

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakarkan sejarah dengan mengadakan latihan bersama Tentera Laut Jerman (TLJ) menerusi pelaksanaan Passage Exercise (PASSEX) di perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam satu kenyataan berkata, jalinan kerjasama pertahanan itu adalah teras pendekatan efektif yang sentiasa didukung dalam menyemarakkan hubungan baik sedia terjalin dengan semua negara sahabat.

Katanya, kerjasama tersebut diperkukuhkan TLDM menerusi pelaksanaan PASSEX bersama TLJ dengan objektif memperkasakan ‘interoperability’ melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran di lapangan.

“Kedua-dua angkatan laut mempamerkan komitmen dan kesefahaman yang jitu menerusi pembabitan tujuh aset TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Inderasakti, KD Jebat, KD Lekir, KD Laksamana Hang Nadim, KD Gempita, KD Sundang dan helikopter Super Lynx.

“Turut terbabit menjayakan latihan tersebut adalah Fast Combat Boat TLDM, manakala TLJ pula memperagakan dua aset iaitu FGS Bayern dan helikopter Sea Lynx,” katanya, hari ini.

Tambah kenyataan itu, objektif latihan diterjemahkan melalui beberapa siri latihan di laut meliputi manuvra taktikal, pendaratan helikopter dan ‘sail past’.

“Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut.

“Terdahulu aset TLJ sedang melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan Indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

“Aset TLJ seterusnya dirancang melanjutkan pelayaran ke Sri Lanka dan India sebelum meneruskan pelayaran pulang ke negara asal pada Februari ini selepas selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir enam bulan,” katanya. – MalaysiaGazette