JASIN – “Tunggu mesyuarat Kongres ( Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Ahad ini,”

Itu reaksi ringkas Presiden Melaka United, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika diminta mengulas mengenai isu tunggakan tiga bulan gaji yang membelenggu pasukan itu sejak Oktober lalu.

Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, beliau tidak dapat memberikan apa-apa komen termasuk jangkaan keputusan kerana belum berada dalam mesyuarat kongres itu yang dijadual diadakan Ahad ini.

“Saya belum duduk dalam (mesyuarat) kongres tu lagi, saya dah ada dalam mesyuarat kongres barulah saya tahu.

“Tanya sekarang saya tak boleh nak jawab,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya Kali Pertama di Kompleks Japerun Bemban di sini hari ini.

Hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban Datuk Hasan Abdul Rahman.

Ditanya apakah langkah awal yang akan dilakukan untuk meredakan keadaan sebelum mesyuarat Ahad ini, Sulaiman berkata tiada apa yang dapat dilakukan.

“Tiada apapun, tunggulah keputusan dalam mesyuarat kongres,” katanya.

Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Melaka United berhubung isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu sejak Oktober lalu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga Penaung Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) berkongsi satu perbualan menerusi WhatsApp bersama Presiden Melaka United, Datuk Seri Sulaiman Md Ali meminta beliau agar menyelesaikan tunggakan tiga bulan secepat mungkin.

Teguran itu disambut positif Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berjanji akan menyelesaikan tunggakan itu.

Perkembangan terbaharu Melaka itu mengejutkan banyak pihak, terutama saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini bakal bermula tidak lama lagi, namun Melaka United FC dilaporkan masih belum melunaskan gaji pemainnya pada musim lalu.

Pada Selasa lalu, PFAM mengesahkan sudah menghantar notis tuntutan kepada Melaka United agar menyelesaikan isu tunggakan gaji sebelum 19 Januari.

PFAM menerusi satu kenyataan yang turut menzahirkan solidariti kepada barisan pemain Hang Tuah dan skuad Piala Presiden.

Dalam kenyataan itu, PFA memaklumkan tunggakan gaji yang melibatkan pemain skuad utama Melaka United adalah sebanyak tiga bulan manakala tunggakan bagi skuad Piala Presiden membabitkan dua bulan setengah.

Sementara itu, pengurusan Melaka United FC dalam reaksi balas semalam memberi jaminan akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji kesemua pemain mereka dalam masa terdekat.

Pihak pengurusan katanya kini dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan berhubung isu tunggakan gaji pemain dan pegawai Melaka United FC musim 2021. – Malaysiagazette