Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Satu cadangan untuk menaiktaraf kelayakan pendidikan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dibawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kepada kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan itu difikirkan wajar bertujuan memberi satu lonjakan baharu dalam pendidikan Tadika Kemas.

“Naik taraf guru Tadika Kemas ini penting dan selaras dengan perkembangan semasa kanak-kanak kerana kebanyakkan Tadika di luar juga sudah menggunakan khidmat guru berkelulusan ijazah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2022 di Kementerian Pembangunan Luar Bandar hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Tambah Mahdzir, setakat ini sejumlah 11,000 guru direkodkan mengajar di Tadika KEMAS berkelulusan diploma dan dicadangkan ditingkatkan pendidikan ke taraf ijazah.

Katanya, sudah tiba masanya taraf pendidikan guru Tadika Kemas dinaikkan ke taraf ijazah dan pada masa sama mengekalkan guru sedia ada untuk menyambung pendidikan.

Bagaimanapun, program naik taraf kelayakan itu, kata Mahdzir, tidak akan dijalankan sekaligus kerana melibatkan faktor kewangan dan perjawatan.

Malah katanya, cadangan itu sedang diselaraskan kementeriannya bagi melonjakkan lagi taraf guru di bawah Kemas.

“Sekarang ini, silibus Tabika Kemas dan Kementerian Pendidikan Malaysia sama cuma guru yang ada di Kemas adalah kelulusan diploma.

“Guru di Tabika Kemas yang ada akan dinaiktaraf, bukan kita buang mereka tetapi guru yang ada boleh ambil ijazah sarjana muda.

“Apa yang kita nak buat ini, kita kena secara berperingkat dan melibatkan zon. Yang lain-lain akan datang kemudian, baru cadangan,” katanya. – MalaysiaGazette