SEGAMAT – Aktiviti kesukarelawanan dilihat boleh memupuk sifat ikhlas, ingin membantu masyarakat sekali gus semangat kerja berpasukan dalam diri seseorang pelajar terutama ketika membantu mangsa banjir.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat, Mohammad Afiq Firdaus Md Hafez, 21, berkata aktiviti tersebut mengajarnya mengenai kerja secara berpasukan dan sifat ikhlas.

Mohammad Afiq Firdaus yang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan berkata dia mula melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawanan sejak kecil apabila rumahnya di Kampung Jaya Sepakat di Senai, Kulai, sering banjir.

“Saya selalu membantu orang kampung apabila banjir. Dari situ timbul rasa mahu membantu orang selalu.

“Bagi saya, aktiviti kesukarelawanan ini mengajar anak muda bersosial secara lebih sihat. Selain itu, sifat ikhlas juga boleh menyemai rasa bersyukur,” katanya ketika ditemui di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat di sini hari ini.

Pelajar Diploma Perakaunan, Nurul Syafiqah Aqilah Khayarani, 21, pula berkata dia banyak menyertai aktiviti kesukarelawanan sebelum ini menerusi Majlis Perwakilan Komander Kesatria.

“Minat untuk tolong orang timbul apabila banyak terlibat dengan aktiviti sebegini. Kebanyakan yang dibantu adalah golongan asnaf, jadi membuatkan saya lebih rasa bersyukur,” katanya.

Mohammad Afiq Firdaus dan Nurul Syafiqah Aqilah merupakan antara 300 sukarelawan yang akan terlibat dengan Program Komuniti Kolaborasi Sukarelawan Pasca Banjir Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat yang dirasmikan Rektor UiTM Cawangan Johor Prof Dr Ismail Ahmad di kampus berkenaan hari ini.

Kesemua mereka akan membantu kerja pembersihan di Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Simpang Loi di Segamat serta Kampung Jawa Lenga di Muar bermula esok.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan NAFAS Baharozaman Mohid berkata inisiatif itu merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi menggerakkan misi bantuan pascabanjir di kawasan terjejas.

“Ia juga akan menumpukan rumah-rumah ahli Peladang, masyarakat setempat dan kawasan kemudahan awam seperti masjid, surau dan premis yang memerlukan khidmat sukarelawan,” katanya.

Ismail pula berkata pihaknya melihat usaha yang dilaksanakan itu sebagai antara medium terbaik dalam melahirkan mahasiswa lebih prihatin dan berdaya tinggi.

— BERNAMA