Pemuda sesat di Bukit Broga berjaya diselamatkan bomba pagi tadi.Ihsan Bomba Selangor

KAJANG – Seorang lelaki yang mendaki Bukit Broga, di sini, pagi tadi terpaksa meminta bantuan bomba selepas tersesat dan tidak menemui jalan keluar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada mangsa yang memaklumkan tersesat sesat semasa melakukan pendakian.

“Bertindak atas maklumat daripada mangsa, Bomba kemudian telah menghantar pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih ke lokasi untuk misi mencari dan menyelamatkan mangsa.

“Selepas pasukan kami tiba ke lokasi pada jam 7.30 pagi tadi, gerakan mencari mangsa, Muhammad Shariq Shoeb, 26, terus diaktifkan tanpa membuang masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa telah mendaki bukit keseorangan dan bomba berjaya mendapatkan kedudukan mangsa yang dianggarkan berada kira-kira 550 meter dari pintu masuk ke Bukit Broga.

“Mangsa berjaya ditemui anggota bomba pada jam sekitar 8.10 pagi dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan berjaya diturunkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette