Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Blok A Flat Danau Kota atas padang rumput beralaskan surat khabar dan papan kayu menyayat hati orang awam dalam kejadian pagi tadi. - Gambar Ihsan IPD Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil dan mengambil keterangan daripada empat individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi perempuan di Blok A Flat Danau Kota, Setapak, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kesemua saksi terbabit dipanggil bagi mengesan pelaku yang bertanggungjawab terhadap perbuatan membuang bayi itu.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dalam kes ini dan siasatan masih diteruskan oleh polis bagi mengesan suspek yang bertanggungjawab atas tindakan tidak berperikemanusiaan ini.

“Justeru kami juga menunggu untuk mendapatkan laporan kimia dan laporan bedah siasat mayat bayi itu bagi menentukan punca kematiannya,” katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh terkejut apabila menemukan mayat bayi perempuan dalam keadaan tertiarap di tepi plastik sampah hitam di kawasan berumput ketika beliau sedang mengutip sampah di perumahan itu.

Siasatan awal polis mendapati, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dipercayai berusia sehari dan mayat dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat. – MalaysiaGazette