The Sungai Kandis State Assemblyman, Mohd Zawawi Ahmad Mughni. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 28 JULY 2021. imam Al-Islahiah Mosque Daniel Iskandar Mohd Nasir teenager bathed corpse
Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

KUALA LUMPUR – Imam Masjid Al-Islahiah, Kuang dekat sini yang terlibat dalam insiden memandikan seorang remaja lelaki seperti jenazah pada 8 Januari telah meletak jawatan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan sewajarnya juga telah diambil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menguruskan insitusi masjid di Selangor selepas menerima maklumat yang sebenarnya mengenai kejadian itu.

“Saya difahamkan imam yang terlibat telah mengambil tindakan meletakkan jawatan dan JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi turut menyeru seluruh masyarakat khasnya umat Islam di Selangor supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes yang melibatkan institusi Islam.

Jelas beliau, ia merupakan tugas pihak berkuasa mengikut lunas-lunas undang-undang sementara masyarakat pula setia membantu untuk menyempurnakan tugas mereka dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa.

Artikel berkaitan:

“Berkenaan kes seorang imam dan sekumpulan jemaah sebuah masjid di Selangor bertindak memandikan seorang remaja yang mencuri tabung masjid seakan-akan memandikan jenazah, saya berharap dihentikan segera penyebaran video tersebut di media-media sosial.

“Ini kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif melalui media- media sosial.

“Selain menjatuhkan maruah remaja terlibat, ia juga turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid.

Daniel Iskandar, 19, yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. – MalaysiaGazette