Juruteknik tempatan dan dua pembantu warga asing diberkas terlibat dalam perlombongan bitcoin secara tersembunyi dalam sebuah premis perniagaan di ibu negara ditumpaskan polis.Gambar Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Bunyi pelik di sebuah premis perniagaan sehingga mengundang curiga orang awam akhirnya membawa kepada pembongkaran kegiatan perlombongan Bitcoin haram didalangi seorang juruteknik tempatan.

Kegiatan suspek yang dipercayai berkomplot dengan dua warga asing mencuri elektrik Tenaga Nasional Berhad untuk melakukan aktiviti melombong Bitcoin secara haram sejak seminggu lalu berjaya dihidu polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada 13 Januari lali pasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah D4 IPK Kuala Lumpur dibantu oleh Forensik Unit IT Maktab PDRM Cheras dan Team Seal TNB telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di Metro Prima Kepong.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan tiga lelaki di dalam premis berjaya ditangkap yang mana salah seorang daripadanya warga tempatan dipercayai seorang juruteknik manakala dua lagi lelaki warga asing merupakan pembantu kepada juruteknik tersebut.

“Kesemua suspek yang ditangkap itu adalah berusia lingkungan 25 tahun hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu hari ini.

Juruteknik tempatan dan dua pembantu warga asing diberkas terlibat dalam perlombongan bitcoin secara tersembunyi dalam sebuah premis perniagaan di ibu negara ditumpaskan polis.Gambar Ihsan IPD Sentul

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan itu berselindung di sebalik premis perniagaan dan sebanyak 77 buah mesin melombong bitcoin, peralatan komputer dan telefon bimbit pelbagai jenama, modem komputer, serta beberapa rangkai kunci premis ‘gelap’ dirampas dalam serbuan itu.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Kes ini telah disiasat mengikut Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 / 379 Kanun Keseksaan kerana telah mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong bitcoin dan jika disabitkan kesalahan, ianya boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terlibat di dalam aktiviti yang kurang sihat ini.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” katanya. – MalaysiaGazette