KWSP EPF withdrawal Employees Provident Fund
Application for the special one-off EPF withdrawal could be made from 1 April onwards and the payment will be made from 20 April in a single transaction. Pengeluaran khas KWSP boleh dibuat mulai 1 April 2022.

KUALA LUMPUR – Isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 semakin hangat apabila terdapat beberapa pihak yang menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran tersebut untuk meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir.

Rata-rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette berpandangan pengeluaran wang tersebut wajar dibenarkan ketika rakyat sedang menghadapi masa yang sukar.

Namun ada juga yang tidak bersetuju kerana ia akan memberi kesan yang tidak baik pada masa hadapan.

Jamilah Hussin, 61, merupakan seorang pesara swasta.

Pesara, Jamilah Hussin, 61, berpendapat, tindakan rakyat mengeluarkan wang KWSP buat kali ketiga mungkin tidak akan memberi sebarang manfaat kepada pencarum pada masa akan datang, sekali gus timbul permasalahan terutama pada hari tua mereka.

“Pandangan saya secara peribadi tidak bersetuju caruman KWSP dikeluarkan sebab ia adalah simpanan hari tua kita. Kalau terdesak macam mana sekalipun saya rasa ada cara lain untuk kita keluarkan, mungkin simpanan kita daripada tempat lain.

“Untuk jangka masa (panjang) ia tidak akan memberi manfaat pada pencarum itu sendiri,” katanya sambil menambah pengeluaran wang itu hanya membari manfaat jangka pendek.

Ini menyebabkan pencarum bakal menghadapi masalah pada masa depan, ujarnya.

Azlan Sirajuddin, 33, seorang pekerja swasta.

Sementara itu, pekerja swasta, Azlan Sirajuddin memberitahu, kerajaan perlu membenarkan pengeluaran wang KWSP itu kepada mereka yang benar-benar terjejas dengan bencana banjir walaupun penularan Covid-19 yang masih belum berakhir.

Katanya, kerajaan perlu memberi perhatian keadaan rakyat ketika ini yang bertarung untuk bangkit semula daripada musibah yang melanda dan tidak hanya memikirkan simpanan pencarum pada hari tua.

“Ia perlu bergantung pada situasi, jika pengeluaran itu dibenarkan pada mereka yang memerlukan ia satu idea yang bagus tetapi tidak boleh pukul rata sebenarnya, sekarang ini kes Covid-19 masih lagi melanda ditambah dengan situasi banjir dan impaknya kepada ekonomi negara.

“Kerajaan perlu mencari solusi yang tepat untuk bantu mereka yang terkesan kerana masalah yang berlaku sekarang masih belum selesai, bukan fikirkan simpanan hari tua mereka,” ujarnya.

Nur Syazana Salleh, 31, juga seorang pekerja swasta menyokong pengeluaran KWSP.

Pekerja swasta, Nur Syazana Salleh, 31, turut menyokong pengeluaran wang KWSP itu dilaksanakan kepada mereka yang terjejas kerana ia merupakan simpanan milik pencarum sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas mereka dilanda musibah.

Tambah beliau, tindakan kerajaan menyediakan bantuan pinjaman kepada mangsa banjir tidak membantu, sebaliknya ia menambah bebanan hutang.

“Saya rasa sangat wajar tindakan pengeluaran KWSP dengan faktor ekonomi yang baru hendak kembali stabil. Kalau buat pinjaman dari pihak bank, akan datang kami sebagai pengguna perlu bayar balik pinjaman itu. Jika harapkan pinjaman, akan ada faedah untuk dibayar balik pada kemudian hari.

“Kalau kami keluar duit kami dari KWSP yang merupakan duit kami, kami boleh guna untuk keluarga dan diri sendiri malah boleh kami bayar pinjaman yang tertunggak sebelum ini disebabkan pandemik dan juga banjir. Bila situasi hilang kerja, duit itu amat membantu untuk perbelanjaan seharian.

Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP kerana ia merupakan sumber terdekat orang ramai untuk mengharungi kehidupan yang sukar ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Elok betul cadangan Zahid Presiden UMNO, Asraf,Ketua Pemuda Pejuang bangsa Melayu dan Najib Presdien korup pejuang bangsa Melayu.Cadangan yang sungguh bernas. Elak berhutang masa muda. Habiskan simpanan masa tua. Nanti bila dah bersara dah tua, kwsp dah kosong barulah buat pinjaman…bijak, bijak, bijak…
    Rakayat yang mahu. Kami i pemimpin UMNO mengikut kehendak rakyat kerana rakyat yang pimpin kami. Ambil lah wang simpanan hari tua kamu..projek mega hah itu lain cerita..

Comments are closed.