Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Suspek yang menjadi buruan polis berhubung kes culik dan bunuh pekerja memotong kelapa sawit di Bidor ditahan polis di Taiping, semalam.

Bertindak atas maklumat polis menahan suspek berusia 30 tahun itu kira-kira jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Selain suspek itu, rakannya yang diberkas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor pada Selasa lalu turut disambung reman sehingga 20 Januari ini.

“Suspek pertama itu sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan culik.

“Siasatan lanjut berhubung masih dijalankan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, hasil bedah siasat ke atas mangsa yang berusia 29 tahun di Hospital Permaisuri Raja Bainun itu mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat daripada senjata tumpul dan tajam.

“Mangsa juga dipercayai dibunuh kira-kira tiga bulan lalu,“ ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki hilang ditemui mati dibunuh dalam kebun kelapa sawit

MalaysiaGazette semalam melaporkan, kehilangan seorang lelaki hampir empat bulan selepas dilarikan dua lelaki terjawab selepas mayatnya ditemui dalam kebun sawit di Bidor pada Selasa lalu.

Mangsa bunuh itu ditemui polis selepas menahan seorang suspek berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor pada hari yang sama. – MalaysiaGazette