Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima barangan sumbangan pasca bencana daripada SP Care Group baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kata-kata nasihat kepada golongan ibu bapa yang sudah mula menghantar anak-anak ke sekolah bermula minggu ini.

Kata Anwar, ibu-bapa perlu sentiasa fokus dalam melindungi anak-anak mereka dengan varian Covid-19 yang masih lagi berada di tahap membimbangkan.

Namun pada masa sama, Anwar berkata, sudah tidak wajar lagi menunda pembukaan sekolah secara fizikal memandangkan pembelajaran perlu diteruskan juga secara normal.

“Sekolah sudah mula buka, ibu bapa tolonglah jangan pandang ringan. Kehidupan di fasa ini memerlukan semua orang mainkan peranan lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dan juga sekeliling terutamanya anak-anak kita yang sudah mula ke sekolah.

“Memang ada rasa takut terjejas kesihatan tapi sampai bila kita hendak tangguh persekolahan anak-anak kita. Tapi pada masa sama, jangan pandang ringan sahaja. Jangkitan dengan varian baharu tinggi, tengok kes di Florida.

“Paling penting jangan sesekali terleka protokol kesihatan dalam proses ‘hidup bersama virus COVID-19’. Sentiasalah berjaga-jaga, perhatikan keadaan anak-anak. Meskipun kadar jangkitan kepada golongan ini masih rendah tetapi keadaan mereka lebih mudah menjadi teruk dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis sumbangan pasca bencana daripada SP Care Group kepada Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson yang disampaikan oleh pengasasnya, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Sumbangan yang diberikan itu termasuklah kayak, enjin bot, jaket keselamatan dan juga pelampung bagi mendepani bencana banjir baru-baru ini.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima barangan sumbangan pasca bencana daripada SP Care Group baru-baru ini.

Kata Anwar lagi, ibu bapa atau peniaga digesa untuk mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ingat, mencegah itu lebih baik daripada merawat.

“Kepada ibu bapa, tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan murid bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah. Pastikan anak-anak sihat dan tiada simptom sebelum membenarkan mereka ke sekolah. Tolonglah,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang juga mendedahkan beliau membangkitkan masalah-masalah rakyat dalam Sidang Khas Parlimen berkaitan banjir yang akan diadakan pada 20 Januari ini.

“Untuk sidang khas, saya akan bawa masalah rakyat, persiapannya dan segala macam, tunggu 20 Januari,” tegasnya. -MalaysiaGazette