Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hanya satu negeri iaitu Johor yang masih terkesan dengan banjir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kini sebanyak tiga Pusat Perpindahan Sementara (PPS) beroperasi yang menempatkan 89 orang.

“Manakala, kadar kes positif yang dikesan di PPS setakat ini kekal pada jumlah 15 kes dan tiada pertambahan kes baharu yang dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini jumlah kes positif membabitkan mangsa banjir berjumlah 471 kes.

Selain itu, katanya, tiada pertambahan kluster baharu positif Covid-19 yang dilaporkan membabitkan mangsa banjir pada hari ini dan angka masih kekal dengan satu kluster.

“Bagaimanapun hari ini sebanyak satu kes penyakit berjangkit iaitu Acute Gastroenteritis (AGE) dikesan dalam kalangan mangsa banjir, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 298 kes.

“Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI), Penyakit Kulit, Hand Foot and Mouth Disease dan Konjunktivitis tidam merekodkan sebarang pertambahan kes baharu pada hari ini sekaligus menyaksikan kumulatif jumlah kes penyakit berjangkit akibat banjir kekal pada kadar 2,461 kes setakat hari ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette