Barisan jawatankuasa baharu MBK sesi 2022-2025 diketuai Mohd Azmawi (empat dari kiri) dan timbalannya, Nik Saiful adli (tiga dari kiri) selepas pemilihan dalam Mesyuarat Agung Khas di Kota Bharu, petang ini.

KOTA BHARU – Badan gabungan utama Majlis Belia Kelantan (MBK) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Khas bagi mengusulkan pemecatan pemegang jawatankuasa sesi 2017-2020.

Mesyuarat yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Kelantan, dekat sini, turut melantik jawatankuasa MBK yang baharu.

Mesyuarat itu telah diusulkan lapan pertubuhan gabungan dalam MBK pada 29 Disember lalu, susulan pembatalan mesyuarat agung tahunan yang sepatutnya dijadualkan 18 Disember lalu.

MalaysiaGazette difahamkan, ia adalah susulan kegagalan jawatankuasa sebelum ini mengadakan mesyuarat agung dan pemilihan selepas tamat tempoh jawatan.

Notis mesyuarat agung itu telah diedarkan kepada semua badan gabungan MBK pada 30 Disember lalu dan dihadiri kebanyakan pertubuhan belia.

Antara yang hadir termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Gerakan Belia 4B dan beberapa Majlis Belia Jajahan (MBJ).

Dalam pemilihan petang ini, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Gerakan Belia 4B dipilih sebagai Yang Dipertua MBK yang baharu, manakala Timbalannya, Nik Saiful Adli Burhan dari GPMS.

Mesyuarat Agung Khas adalah kaedah dibenarkan undang-undang melalui Fasal 10 (1) (h) xii Perlembagaan Majlis Belia Kelantan bagi membawa usul atas permintaan oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pertubuhan belia yang menganggotai MBK termasuk mengusulkan pemecatan jawatankuasa.

Berikut senarai jawatankuasa baharu MBK bagi sesi 2022-2025 yang dipilih petang ini;

Yang Dipertua, Mohd Azmawi; Timbalan Yang Dipertua, Nik Saiful Adli; Naib Yang Dipertua 1, Asroy Azmi; Naib Yang Dipertua 2, Mohd Murni Mohd Zin; dan Naib Yang Dipertua 3, Siti Zuria Razali.

Ahli jawatankuasa ialah Othman Abd. Manan, Ahmad Burhanuddin Ahmad Rosdi, Norulidayu Mohamad Nor, Muhamad Ikhwan Ibrahim, Muhammad Nor Azim Nor Azme, Mohd Farid Asyraf Rafei dan Zuraihah Muhammad. – MalaysiaGazette