Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing ini dalam sektor yang dibenarkan akan dibuka secara berperingkat mulai 28 Januari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia bagi pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas.

Manakala, permohonan pekerja warga asing untuk sektor-sektor lain yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas akan mula dibuka pada 15 Februari 2022.

Permohonan boleh dibuat oleh majikan di laman web www.fwcms.com.my

”Selain daripada tarikh-tarikh yang diumumkan untuk kemasukan pekerja warga asing, saya ingin mengingatkan semua majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

”SOP ini merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin. Semua pekerja warga asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung oleh majikan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ketika ini, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin berada di Lembah Klang.

Setakat ini, kapasiti yang boleh ditampung oleh pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin adalah sebanyak 10,000 orang pada satu-satu masa.

Menurut Saravanan, dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin dengan mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. – MalaysiaGazette