Terence Naidu
Terence Naidu

KUALA LUMPUR – ADUN DAP di Perak, Terence Naidu mengaku beliau adalah wakil rakyat yang ditangkap polis semalam dan saringan air kencingnya positif dadah.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan petang tadi, wakil rakyat Pasir Bedamar itu berkata, beliau telah memberi kenyataan beramaran kepada pihak polis tentang situasi sebenar yang membawa kepada penahanannya itu. 

Terence yang terkejut ketika dimaklumkan air kencingnya positif dadah memberitahu, beliau telah diundang oleh kliennya untuk perjumpaan dan makan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang.

Setibanya di Perai, beliau dibawa ke lokasi di dan berasa teragak-agak untuk memasuki premis tersebut.

Sambil menafikan telah mengambil sebarang bentuk bahan terlarang, Terence berkata, beliau dihidangkan minuman yang ‘aneh’ dan tidak meminumnya selepas merasa sedikit.

“Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak,” katanya.

Katanya, beliau kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika pergi ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minumannya. 

Ekoran insiden ini, sebaik sahaja dibebaskan beliau telah membuat laporan polis kerana terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.

Saksi tersebut, katanya, telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dilihatnya.

Artikel berkaitan:

“Berikutan dengan ini Saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

“Bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah. 

“Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah,” katanya.

Terence berkata, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi dan tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka kepada saya,” katanya.

Mengenai pendirian DAP Perak menuntut beliau memberi penjelasan, Terence berkata, tuntutan itu akan dipatuhi. 

“Sebagai ADUN yang bertanggungjawab dan dilantik di bawah bendera parti, saya juga bersedia untuk melindunginya daripada sebarang masalah dan bersedia untuk digantung keahlian, supaya pihak parti tidak terheret sama dalam kes ini.

“Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi, terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya,” katanya. – MalaysiaGazette