chicken egg price stock
Seorang pekerja menolak telur untuk dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuat kuasa 7 hingga 31 Disember di Pasar Pelabuhan Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Peniaga makanan di sekitar ibu negara mengeluh dengan kenaikan harga ayam.

Harga telur yang naik tanpa ‘belas kasihan’ sejak tahun lalu cukup meresahkan dan membebankan mereka.

Pemilik restoran Hasliza Mahmud, 49, rata-rata harga sepapan telur didakwa mengalami kenaikan RM2 berbanding tahun lalu.

Dia hairan mengapa kenaikan ini berlaku sedangkan telur melambak dalam pasaran.

Hasliza Mahmud

“Kalau susah dapat tu kita fahamlah, ni berlambak pun mahal.

“Kenaikan ini sudah tentu menimbulkan rasa cemas kepada peniaga yang memerlukan bekalan itu setiap hari kerana kos berniaga semakin meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hasliza berkata, dulu telur gred B hanya RM11 sepapan, sekarang RM13, belum lagi telur gred A.

“Di sini,  banyak kedai runcit. Memang mudah nak beli telur tapi mahal. Bila harga telur naik, kita pun terjejas sebab kita berniaga guna telur.

”Kalau mahal susahlah, sebab barang lain pun dah mahal. Beli dengan pemborong pun sama sahaja harganya, bezanya kita beli banyak.

“Bila tanya pemborong, dia pun kata sampai dengan mereka pun mahal,” rungut beliau.

Trisnawati Zulkifli

Seorang peniaga kuih, Trisnawati Zulkifli, 40 tahun, turut melahirkan perkara sama.

Menurutnya, telur yang dibeli dengan pemborong dan kedai sama sahaja harganya.

“Tiada lagi istilah murah beli pada pemborong,” katanya yang selama ini tidak membeli telur di kedai runcit kerana memerlukan bekalan yang banyak.

Dia yang menggunakan telur gred B mendakwa harga telur itu naik RM0.50 sen hingga RM1 bagi sepapan.

Rungutnya, sejak telur dijadikan barang kawalan ini, kedai runcit mengehadkan belian kepada lima papan sahaja, disebabkan itu lebih mudah beli pada pemborong.

Peggy

Sementara itu, seorang peniaga nasi lemak, Peggy, berkata, kenaikan harga telur menyebabkan dia hanya mampu beli gred C sahaja, bagi mengelakkan kos perbelanjaan bertambah.

Katanya, harga telur bagi gred A dan B jauh berbeza mengakibatkkan dia tiada pilihan, selain membeli telur goreng gred C.

Meskipun begitu, menurutnya, harga telur gred C pun bukan murah,

“Walaupun saiznya kecil tetapi harga telur gred C untuk 10 biji pun naik RM1,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast