KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barang yang berlanjutan sejak mutakhir ini benar-benar menekan rakyat.

Tidak kisah pengguna atau peniaga, kedua-dua kelompok ini antara yang paling terkesan.

Bagi pengusaha kantin sekolah, Mohd Zuljimi Mohd Ariffin, isu kenaikan harga barang benar-benar memberi kesan terhadapnya.

“Saya tak boleh nak simpan stok barang, sebab barang pun tak ada di kedai.

“Nak beli barang pun saya kena pusing bandar Ipoh ni cari, macam beli minyak, ada kedai kata habis dan ada tu pula catu, hanya terhad satu paket saja.

“Saya ni peniaga, mana boleh nak beli satu paket, nak menggoreng pun tak lepas,” katanya dalam program SKOP MG hari ini.

SKOP MG yang disiarkan setiap minggu membawakan tajuk ‘Harga Barang Naik Lagi’ menampilkan tiga panel membicarakan isu ini.

Mohd Hilmi berkata, sikap segelintir peruncit dan pemborong yang menekan peniaga sepertinya telah menyukarkan perniagaannya.

“Saya ni bukan lama berniaga, bukan juga baru berniaga.

“Salah siapa bila kami ni nak membeli banyak, tapi harga sama.

“Bila dah beli mahal, nak jual murah macam mana? Murid dan guru-guru pun tak akan nak beli kalau mahal, akhirnya jadilah seperti sedekah, tapi kami sendiri tak boleh nak balik modal jauh sekali nak untung,” katanya lagi.

Perkara ini jelasnya perlu diperhalusi agar sistem rantaian tidak menekan mana-mana pihak.

Sementara itu, suri rumah Sharifah Zaini Syed Yusop, 61 juga mengakui kenaikan harga barang berlaku sejak tahun lalu membebankannya.

“Kalau beli barang dapur, RM300 tu pasti.

“Tapi, tak semua barang dapat beli sebab semua naik harga,” katanya.

Jelasnya, ayam dan sayur antara yang mengalami kenaikan harga melampau.

“Barang naik harga bukan pada ayam saja, tapi keseluruhan.

“Sayur bayam yang saya beli, bukan import tu pun dah RM1.50 seikat kecil, bukan segenggam,” ujarnya.

Sebagai suri rumah, tidak terdaya untuknya mengelak daripada membeli.

“Saya terpaksa juga beli sayur, ayam atau ikan.

“Budak-budak suka ayam. Jadinya, ayam tu saya potong kecil dan masak paprik yang ada sayur, jadilah untuk anak dan cucu makan,” katanya yang terpaksa berjimat.

Jelasnya, dengan keadaan pendapatan keluarga tidak menentu lebih menyukarkan untuknya berbelanja mewah.

“Tak ada istilah lauk kayangan atau mewah, makan apa yang ada dan semampu kami.

“Zaman sekarang harga tak masuk akal. Tak tahu siapa yang kawal harga, peniaga kata bukan mereka, jadinya siapa?,” soalnya.

Perkara kenaikan harga ini perlu penyelesaian segera agar rakyat tidak terus terasa terbeban. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast