KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barang yang sering disebut berlaku pada musim perayaan hanyalah propaganda.

Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Muhammad Yusuf Azmi berkata, alasan yang sering diberikan adalah disebabkan kenaikan harga petrol.

“Ini penipuan yang sangat besar. Saya bercakap ni selepas pasukan kami turun padang.

“Rata-rata pembekal dan kartel bermain harga barang setiap tahun,” katanya dalam program SKOP MG malam tadi.

Beliau berkata, pembekal dan kartel adalah pihak yang menentukan harga di pasaran.

“Mereka kata, harga petrol menjadi punca sedangkan kenaikan petrol tidak begitu membebankan.

“Mereka mengawal kerana mereka ada lesen.

“Bayangkan harga petrol naik, tapi mereka menekan kepada harga setiap barang, memang tak masuk akal,” katanya.

Jelasnya, sepatutnya pihak kerajaan tidak mengganggu peniaga runcit dan kecil.

“Pihak kerajaan tidak patut minta peniaga kecil atau peruncit turun harga sedangkan pembekal inilah yang menjadi punca semuanya.

“Pemborong pun dapat harga mahal daripada pembekal, inilah masalah dan perlu diselesaikan segera,” katanya.

Mengambil contoh harga telur ayam yang semakin naik, Muhammad Yusuf Azmi berkata, inilah yang berlaku jika tidak ada penguatkuasaan yang telus untuk menanganinya.

“Saya tidak nampak ada usaha untuk membanteras perkara ini, selalu dicari salah adalah peniaga kecil.

“Saya sangat berharap kerajaan benar-benar mengkaji perkara ini kerana kami sudah berikan solusi atau apa yang perlu dibuat, tapi kalau tak ada tindakan, tak tahulah nak cakap apa lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa khas memerangi orang tengah.

“Dengan adanya jawatankuasa ini, saya yakin akan ada perubahan dan isu kenaikan harga barang tak akan terjadi lagi.

“Jangan lagi marah peruncit atau pengguna yang tak tahu berjimat, sebaliknya orang tengah yang meletakkan harga tidak masuk akal,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast