Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengumumkan pelan ‘menang-menang’ sebelum ribuan pekerja warga asing masuk ke negara ini.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, sebelum ini, pihaknya telah merayu untuk penangguhan bagi membolehkan rakyat tempatan diberikan keutamaan terlebih dahulu.

“MHO melalui Memorandum Memohon Penangguhan yang telah diserahkan kepada KSM merayu agar penangguhan dapat diberikan berkenaan usaha membawa masuk pekerja asing ke Malaysia dengan harapan rakyat tempatan diberikan keutamaan mengisi kekosongan pekerjaan khususnya di dalam sektor 3D.

“Bagaimanapun, tanpa menafikan keperluan mendesak yang dihadapi oleh pasaran tempatan, kemasukan pekerja asing dilihat perlu bagi memastikan sektor ekonomi kelapa sawit kembali pulih dan berdaya saing,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum itu, menurutnya, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof juga menyatakan bahawa kerajaan berhasrat untuk mempercepatkan proses menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan Indonesia berhubung bekalan pekerja asing bagi sektor pembinaan.

“MHO melihat kesungguhan pihak berwajib seolah-olah lebih menjaga kepentingan pihak majikan atau industri daripada bertindak menjaga kepentingan negara dalam isu ini.

“Pendekatan yang dipilih lebih kepada penyelesaian mudah dan jangka pendek saja dan sepihak. Janganlah seperti hanya memberi muka kepada golongan kapilatis sahaja, rakyat kita bagaimana? Tolonglah.

“Kita sedia maklum KSM terutamanya menteri, Datuk M. Saravanan akan juga menimbang antara keperluan industri di sebelah pihak dan kepentingan warga tempatan yang juga sumber manusia negara kita yang harus diberi keutamaan dan segala hal tanpa kompromi.

“Ini soal rakyat dan masa depan keluarga kita atau Keluarga Malaysia. Adakah nanti ia hanya tinggal retorik dan umpan memenangi hati bakal pengundi sahaja,” luahnya.

Jelas Hishamuddin lagi, MHO menggesa supaya suatu pelan ‘menang-menang’ dapat diumumkan bagi menjamin kepentingan bersama rakyat tempatan daripada kemasukan ribuan pekerja asing dalam masa terdekat ini.

Katanya pelan itu bermaksud menang kepada pihak majikan atau industri dan juga mestilah menang kepada kepentingan pekerja atau sumber tenaga tempatan dalam negara.

“Antara cadangan kami termasuklah pengumuman tangga gaji minimum, kita komited dalam perjuang gaji minimum RM2,000 hingga RM2,5000 di berikan kepada pekerja tempatan sektor 3D.

“Ini dapat memastikan warga tempatan tertarik dengan sektor pekerjaan 3D dan dalam masa yang sama taraf hidup yang lebih baik dapat diberikan kepada pekerja di dalam sektor 3D.

“Juga pengukuasaan proses warga asing yang lebih ketat, wajib mendapat kelulusan oleh Jawatan Kuasa Khas yang menguruskan proses kemasukan warga asing khususnya daripada Bangladesh.

“Tiada lagi minit-minit kelulusan khas secara manual bagi membawa masuk pekerja warga asing dibenarkan. Juga pekerja warga asing yang masuk hanya di benar kerja sektor 3D sahaja.

“Demi jaga kepentingan tenaga kerja tempatan, sistem kuota tahunan setiap kementerian perlu ditetapkan, jangan bawa masuk tanpa had sehingga peluang untuk rakyat tidak ada,” ujarnya.

Kata Hishamuddin, pihak MHO berharap pelan yang sama bukan sahaja dapat menjamin menang-menang untuk semua sebaliknya kebajikan rakyat sendiri terjaga.

“MHO hanya minta ditangguhkan kemasukkan mereka sehingga Jun tahun ini dan hadkan kepada keperluan kritikal saja dengan menyatakan jumlah tertentu bukan kelulusan secara bebas tanpa had.

“Perlu ketetapan satu jumlah tertentu mungkin hanya sekitar 100 ribu sahaja bagi tahun ini dan putihkan PATI sedia ada di dalam melalui Program Rekalibrasi yang berakhir tahun disember tahun lalu.

“Jumlah yang pulang dan berdaftar amat kecil, semoga pelan ini dapat di umum sebelum kemasukan ribuan asing tidak lama lagi,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast