Foto satelit menunjukkan letusan-gunung berapi bawah laut di Tonga yang menyebabkan tsunami.

KUALA LUMPUR – Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dikesan susulan kejadian letusan gunung berapi dasar laut di Perairan Tonga kira-kira jam 12.27 tengahari semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berdasarkan kepada pemantauan berterusan pihaknya.

“Ia juga berdasarkan semakan bacaan tolok pasang surut, boya antarabangsa dan tempatan serta maklumat laman sesawang Regional Tsunami Service Providers (RTSP).

“MET Malaysia akan sentiasa berterusan perkembangan kejadian ini dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini yang berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, letusan gunung berapi di Pasifik Selatan mencetuskan gelombang tsunami ke Tonga berdekatan utara Jepun selain amaran gelombang laut berbahaya dikeluarkan sejauh pantai barat Amerika Syarikat (AS).

Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai yang panjang dan bergemuruh menyebabkan kepulan asap kelihatan seperti cendawan besar, selain abu bertebaran ke udara merentasi perairan sekitarnya. – MalaysiaGazette