Kamarul Zaman pada majlis serah terima tugas daripada Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

JOHOR BAHRU- Anggota dan pegawai polis termasuk orang awam diharapkan terus memberi kerjasama dengan saya, kata Ketua Polis Johor yang baharu, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Ia bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan yang dilakar Polis Kontinjen Johor sebelum ini dikekalkan, katanya.

Kamarul Zaman bersedia menggalas tanggungjawab berkenaan sepenuhnya untuk memimpin Polis Johor agar cemerlang khususnya di mata masyarakat.

“Demi menyambung kecemerlangan dan kejayaan kepimpinan terdahulu, saya memerlukan sokongan padu daripada ketua-ketua jabatan, ketua polis daerah, pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

“Sehubungan itu, saya juga mengingatkan agar semua pihak memastikan integriti dan keikhlasan dalam berkhidmat dikekalkan, dan jangan menjadi pembelot kepada pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas tamat majlis serah terima tugas daripada Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman, 58, yang merupakan bekas Ketua Polis Kedah itu dilantik menggantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Kamarul Zaman yang dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1988.

Sepanjang 34 tahun beliau berkhidmat, beliau telah menjawat beberapa jawatan termasuklah Pengarah (Pelucuthak Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di IPK Johor.-MalaysiaGazette