Ismail Sabri (kiri) bergambar dengan Nurshazrina dalam pertemuan mereka di Sepang hari ini.- gambar FB Ismail Sabri.

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang remaja yang menderita kanser tulang mahu berjumpa dengan Perdana Menteri akhirnya tercapai.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menunaikan impian Nurshazrina Suryanto, 15, yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sepang itu.

Beliau melawat dan meluangkan masa dengan Nurshazrina di Pangsapuri Megah Villa di Sepang.

Nurshazrina yang dahulunya seorang remaja yang aktif bersukan kini menderita kanser tulang tahap 4.

Beliau yang didiagnosis kanser pada bulan Oktober tahun lepas dan kini menjalani rawatan setiap sebulan.

“Umurnya baru 15 tahun namun telah diuji dengan satu cabaran besar dalam hidupnya. Tubuhnya separa lumpuh.

“Shazrina memaklumkan kepada bapa beliau impian dia untuk bertemu Pak Long PM dan hari ini saya membuat kejutan melawat beliau bagi memenuhi impian beliau itu.

“Alhamdulillah beliau terkejut dan teruja malah menggagahkan diri menghantar saya keluar sebelum saya pulang,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.

Ismail Sabri juga mendoakan Nurashazrina dan keluarganya tabah menghadapi ujian dan berharap dia diberi kesembuhan.

Sementara itu itu, Nurshazrina tidak menyangka hasratnya untuk bertemu pemimpin nombor satu negara tercapai.

Sebelum itu, dia menyuarakan hasratnya kepada Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said yang kemudiannya mengatur pertemuan itu hari ini.

“Bersyukur sangat, tidak sangka dapat jumpa PM (perdana menteri), saya ucapkan terima kasih kerana sudi melawat saya sekeluarga walaupun jadual beliau sibuk.

“Beliau amat prihatin, ada tanya pasal kesihatan saya dan kata akan menyumbangkan komputer atau tablet untuk memudahkan saya belajar,” katanya dipetik dari laporan Berita Harian.- MalaysiaGazette