Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah berjumlah hampir RM100,000 sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut 1 Februari ini.
Kempen Gong Xi Ang Pow 2022 tersebut terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
Melalui kempen bertemakan ‘Gong Xi Simpan, Kongsi Ong! Hari-Hari Mesti Mau Simpan Tau!’ peraduan tersebut akan dianjurkan secara peringkat negeri.
Semua 14 negeri menawarkan hadiah menarik kepada lapan pemenang.
Hadiah pertama menawarkan TV Pintar 4K 50 inci, hadiah kedua periuk tekanan tinggi dan hadiah ketiga berupa basikal lipat.
Sementara lima pemenang disetiap negeri akan menerima hadiah saguhati berupa ang pow bernilai RM388.
“Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuat simpanan bersih serendah RM50 dalam tempoh kempen dan akan layak mendapat satu cabutan secara automatik,” katanya.
Pendeposit yang menyertai kempen tersebut bukan sahaja berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan malah akan menikmati pelbagai keistimewaan Simpan SSPN yang disediakan.
Antara keistimewaan yang ditawarkan adalah pemberian dividen yang kompetitif, perlindungan takaful dan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.
Menurut PTPTN, penganjuran kempen tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit yang setia memilih Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk menabung di musim perayaan.
PTPTN berharap kempen tersebut akan dapat menarik minat dan menyuntik motivasi masyarakat untuk terus membuat penabungan sekali gus dapat memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina.
Kempen Gong Xi Ang Pow 2022 juga diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim masyarakat majmuk selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.
Tempoh peraduan adalah selama sebulan bermula 15 Januari hingga 15 Februari depan.
Layari portal www.lovesspn.com untuk maklumat lanjut mengenai kempen Gong Xi Ang Pow 2022, pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan simpanan.- MalaysiaGazette