Anggota VAT 69 (kanan) memberi tabik hormat kepada Ustaz Muhamad Abdullah sebagai tanda terima kasih setelah bergelar jurulatih selam penyelamat awam

KUALA LUMPUR – Terus memberi khidmat bakti kepada masyarakat dalam pelbagai keadaan.

Ini melibatkan operasi mencari, mengesan dan menyelamat sama ada melibatkan pencarian bahan bukti, orang hilang dan lain-lain, di permukaan air atau dasar laut kerana semuanya itu ada kaitan dengan kemahiran selam skuba.

Untuk itu, Unit 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah merasakan ilmu serta kemahiran selam skuba dimiliki selama ini sudah mencukupi.

Sebaliknya, kemahiran berkenaan perlu digilap dari semasa ke semasa. Prinsip pasukan itu, latihan demi latihan perlu diterapkan. Tidak kira ia dilakukan di dalam negara mahupun luar negara.

Latihan juga tidak semestinya melibatkan gabungan dan kerjasama dengan pasukan keselamatan malah VAT 69 sanggup menimba ilmu dan pengetahuan walaupun dari pihak yang bukan dikategorikan sebagai bukan pasukan beruniform.

Bagi VAT 69, konsep ilmu amat luas dan tidak terhad. Oleh itu, ia perlu ditimba selagi mampu tanpa henti, asalkan dapat memberi manfaat dalam tugasan pasukan tersebut.

Sehubungan itu, yang terbaharu apabila lima anggota VAT 69 menjalani latihan selam penyelamat awam. Kemahiran ini memang jarang sekali dimiliki oleh penyelam orang awam.

Selam penyelamat awam sering kali dimiliki oleh pasukan beruniform dan penguat kuasa kerana ia melibatkan tugasan hakiki mereka.

Dalam latihan selama 15 hari di sekitar Selangor itu, ia bukan sahaja melibatkan kelas pengajaran teori, malah latihan di Selat Melaka, kolam renang dan juga tasik.

Langkah mempelbagaikan latihan di lokasi berbeza ini bertujuan memberi pengalaman luas kepada anggota-anggota berkenaan yang merupakan antara barisan pelapis jurulatih selam skuba kepada VAT 69.

Latihan berkenaan dipantau sendiri oleh Komander Unit 69 Komando PDRM, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusof bagi memastikan ilmu serta kemahiran yang diterapkan memenuhi standard tinggi pasukan beruniform bagi unit yang bergelar komando itu.

Manakala latihan itu dikendalikan oleh Pengerusi Persatuan Profesional Selam Penyelamat Awam Malaysia yang juga penceramah agama bertauliah, Ustaz Muhamad Abdullah yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai kemahiran selam skuba.

 

Sangat penting kemahiran selam penyelamat awam ini kerana boleh dikatakan sepanjang masa ia diperlukan terutama dalam pencarian bahan-bahan kes dan bukti terutama di dalam air yang keruh.

Atas dasar itu, Ustaz Muhamad Abdullah telah mempelbagai kaedah latihan selam penyelamat awam termasuk di perairan Selat Melaka dan juga tasik yang memang diakui sukar dilihat atau dipandang secara mata kasar.

Pada hari pertama latihan, seperti biasa anggota-anggota VAT 69 itu diuji kecergasan fizikal mereka yang secara langsung memang tidak boleh dinafikan kewibawaan yang mereka miliki sentiasa pada tahap tinggi.

Latihan berikutnya melibatkan pelbagai teknik selaman termasuk penggunaan dua tangki udara (sidemount) bagi setiap penyelam. Penggunaan dua tangki udara ini sebagai persediaan apabila menjalankan operasi di dalam gua di dasar laut atau di ruangan yang sempit selain memerlukan selaman yang agak lama.

Malah, sidemount dalam keadaan tertentu amat berguna apabila penyelaman hendak membantu penyelam lain yang memerlukan bantuan udara dengan memberikan satu daripada tangki yang ada pada dirinya.

Turut diterapkan ialah latihan dengan setiap penyelam ditutupkan mata mereka ketika mencari bahan-bahan bukti di dasar air. Keadaan ketika itu amat gelap-gelita bagi setiap penyelam tanpa dapat melihat walaupun sedikit.

Langkah ini bagi membolehkan mereka merasai suasana sebenar apabila menyelam di kawasan air keruh atau pada waktu malam yang memerlukan keberanian serta teknik tertentu.

Dalam keadaan sedemikian, setiap penyelam perlu tahu menggunakan kemahiran untuk mengesan bahan bukti yang dicari tanpa ada panduan dari cahaya atau lampu suluh.

Ustaz Muhamad Abdullah turut menyelitkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi setiap anggota VAT 69 apabila berhadapan dengan situasi kecemasan ketika menjalankan operasi mengesan bahan bukti.

“Kita berbangga kerana anggota VAT 69 sanggup berkongsi kemahiran dan pengalaman mereka bersama I-Divers,” kata Ustaz Muhamad Abdullah yang merupakan pengasas kepada I-Divers.

Ustaz Muhamad Abdullah yang beroleh pengetahuan serta kemahiran dalam selam penyelamat awam dari Amerika Syarikat itu berkata, apa yang beliau belajar dari luar negara dengan latihan melibatkan situasi sebenar  telah diterapkan dan dikongsi bersama anggota-anggota komando berkenaan.

Dengan tamatnya latihan berkenaan, lima anggota komando berkenaan kini ditauliahkan sebagai jurulatih selam penyelamat awam dan secara langsung mereka juga layak untuk melatih serta melahirkan kumpulan pelatih penyelamat dalam kemahiran yang sama.

Selain latihan selam penyelamat awam, anggota-anggota VAT 69 berkenaan turut dilatih finswimming yang merupakan gabungan sukan melibatkan kemahiran renang dan juga freedive.

Kemahiran dan tauliah finswimming itu sebelum ini diperoleh oleh Ustaz Muhamad Abddullah ketika beliau mengikuti latihan intensif selama seminggu pada Ogos 2021 di Tanzania di bawah tunjuk ajar bekas seorang naib juara dunia finswimming.

Dalam pada itu, sesuatu yang menarik sepanjang latihan selam penyelamat awam itu apabila lima anggota VAT 69 berkenaan menerima tauliah mereka sebagai jurulatih dalam satu majlis yang diadakan di dalam air dengan Ustaz Muhamad Abdullah membalas setiap tabik hormat daripada anggota-anggota berkenaan.

Sementara itu, Abdul Razak yang merupakan Komander VAT 69 berkata, penyertaan VAT 69 itu dalam latihan berkenaan lebih merupakan perkongsian ilmu bagi meningkatkan lagi kemahiran serta pengetahuan sedia ada.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin berkongsi kemahiran demi meningkatkan lagi ilmu dalam VAT 69.

“Sebab itu kita akan berlatih di mana sahaja dan dalam pelbagai keadaan terutama selam penyelamat awam ini.

“Kemahiran ini penting bagi membolehkan anggota-anggota kita menjalankan operasi termasuk mengesan serta mencari bahan bukti, mencari dan menyelamat mangsa lemas dan pelbagai keadaan lain.

“Saya berpuas hati prestasi setiap anggota kerana bagi VAT 69, biar tercalar dahi, jangan sekali-kali tercalar imej pasukan. Kerana itu kita sentiasa bersedia untuk menabur bakti,” kata Abdul Razak.- MalaysiaGazette

Amir Sarifudin (kiri) bersama salah seorang peserta anggota VAT 69.

 

AMIR SARIFUDIN merupakan bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia.