Sukarelawan SV Segamat giat membantu kerja-kerja pembersihan di rumah penduduk terjejas banjir dan turut dibantu oleh Speaker Dewan Muda Johor,Ayob Rahmat (kiri) di Segamat, Johro hari ini.

SEGAMAT – Tiada isu pemilik rumah mangsa banjir tidak berpuas hati mengenai barangan keperluan mereka yang masih boleh dipakai dibuang di Johor.

Timbalan Souther Volunteers (SV) Segamat, Mohd Faiz Mohamad mengakui tidak menerima aduan itu seperti mana yang berlaku kepada mangsa banjir di Selangor sebelum ini.

“Ini kerana di Johor satu garis panduan telah ditetapkan untuk mengelak masalah itu berlaku. Masa berlakunya pasca banjir kita ada buka satu pusat, kita di Segamat, setiap tempat ada person in charge maklum kepada tuan rumah sama  ada berada di rumah masing-masing atau tidak.

“Sebelum kerja pembersihan, sukarelawan kami akan tanya dahulu  barang mana kita perlu buang dan barang mana kita perlu gunakan semula, sebenarnya begitulah jadi isu itu tiada berlaku di Segamat,” katanya.

Mohd Faiz

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas  program kerja-kerja pembersihan oleh SV Segamat di Kampung Batu Badak,Segamat di sini hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Muda Johor, Datuk Ayob Rahmat yang turut menyampaikan bantuan berbentuk barang keperluan kepada mangsa yang terjejas.

Sementara itu, menurut Mohd Faiz, walaupun sudah memasuki hari ke-18 bencana banjir di daerah ini namun kerja-kerja membersihkan rumah mangsa bencana alam itu masih giat dijalankan.

Pasukan SV, katanya, sentiasa bersedia untuk dikerah sepanjang pasca banjir di kawasan dirasakan perlu.

Mohd Faiz berkata, semua ahli di daerah itu telah digerakan sejak 5 Januari lagi bagi membantu mangsa terlibat.

“Kita belia bersama beberapa NGO telah membersihkan beberapa kawasan di kampung Seberang Batu Badak ada sebanyak enam rumah kita bantu pembersihan sampah-sampah dan pembersihan dalam kawasan rumah.

“Barang-barang yang boleh kita pakai kita bantu buat pembersihan seperti pinggan mangkuk dan barang-barang elok lagilah,” katanya.

Tinjauan mendapati keadaan banjir di Segamat kini pulih 98 peratus dengan hanya kurang lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Meskipun cuaca baik namun masih terdapat beberapa kawasan tendah di Gemerah di sini masih digenangi air.- MalaysiaGazette