Abdul Majid Mohd Ali (tengah) menunjukkan kabel telefon PLUS yang dicuri.

 

MELAKA – Kerosakan kira-kira 20 Sistem Telefon Kecemasan (ETS) PLUS di Jasin sejak dua minggu lalu terjawab susulan penahanan dua lelaki yang memotong dan mencuri kabel ETS di sini 9 Januari lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 37 dan 42 tahun itu diberkas polis berhampiran kawasan semak di Kilometer 174.9 Lebuhraya PLUS (arah utara) jam 1.47 pagi.

Menurutnya, tindakan kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri dan menyorok di dalam semak kira-kira 500 meter dari lokasi bagaimanapun gagal apabila berjaya dihidu Unit Anjing Pengesan (K9).

“Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada anggota polis bantuan Plus yang mengesan tindakan suspek dalam keadaan mencurigakan di bahu lebuh raya sebelum mendapati beberapa gulung kabel ETS dianggarkan bernilai RM40,000 telah dipotong.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan dibantu anjing K9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka berjaya mengesan suspek yang menyorok di dalam semak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan dan Pengurus Seksyen Simpang Ampat-Pagoh PLUS, Mahadzir Masod.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek merupakan penjenayah tegar apabila turut mempunyai 25 rekod jenayah termasuk berkaitan dadah.

“Siasatan juga mendapati dua sekawan itu aktif dalam kegiatan mencuri kabel ETS sejak dua tahun lalu dengan yang terbaharu membabitkan kecurian sepanjang lebuh raya di kawasan Tangkak, Johor ke Jasin.

“Polis juga sedang mengesan pembeli kabel berkenaan dan menasihati pembeli supaya tidak sewenang-wenangnya membeli barangan terbabit tanpa merekodkan butiran penjual,” katanya sambil menambahj kedua-dua suspek direman sehingga Rabu ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette