Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jangkitan kes baharu positif Covid-19 hari ini merekodkan penurunan di bawah 3,000 kepada 2,342 kes berbanding 3,010 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 2,810,689.

“Daripada 2,342 kes yang dilaporkan itu, 34 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 2,308 atau 98.5 peratus lagi merupakan kategori satu dan dua.

“Sebanyak 184 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 87 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau juga memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan enam lagi kluster baharu hari ini dengan jumlah kluster aktif di negara ini adalah 177 kluster.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul  3 petang tadi, sebanyak satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi iaitu di Johor melibatkan seramai 37 mangsa banjir.

Ujar beliau, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS kekal 15 kes, tanpa ada kes baharu dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir  kekal sebanyak 471 kes dan tiada kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19: Kes baharu 2,342