Jasma Rosli bercakap pada media mengenai pertuduhan anaknya yang telah didakwa mencuri duit tabung masjid di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Kelalaian dan kecuaian peranan ibu bapa adalah punca sebenar menyebabkan hidup seorang remaja yang dimandikan seperti jenazah, Daniel Iskandar terlibat dengan jenayah cubaan mencuri tabung masjid.

Perkara itu diakui sendiri ibunya, Jasma Rosli, 41, yang tidak menyalahkan mana-mana pihak atas keterlanjuran anak lelakinya yang terjebak dengan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

“Apa pun kesalahan berpunca dan datangnya daripada ibu bapa, saya minta ibu bapa lain tolong prihatin kepada anak-anak.

“Saya akui kesilapan ibu bapa yang membuatkan dia terabai, dia membawa haluan sendiri.

“Saya tak salahkan mana-mana pihak,  ini adalah kecuaian saya, kesilapan saya,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jasma menyambut baik saranan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam agar pihak masjid terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarganya dan masyarakat berhubung insiden itu.

“Tiada masalah (berlapang dada), kita pun maklum siapa puncanya, sama-sama dua pihak nak bermaafan Alhamdulillah, memang agama kita macam itu.

“Baguslah apa tuan hakim berikan pendapat dan keputusan itu sebagai pengajaran untuk kita semua. Netizen jangan cepat menghukum.

“Bagi pihak keluarga, kami tidak menyalahkan sebab bagi kami ini adalah satu pengajaran untuk semua,” katanya.

Susulan insiden itu, Jasma tidak mahu memaksa Daniel dalam soal tempat tinggalnya selepas ini. Bahkan memberi ruang kepada remaja itu untuk membuat pilihan.

“Kita serahkan kepada dia, saya tak nak ada paksaan, kalau saya kata dia adalah hak saya duduk dengan saya, dia memberontak mungkin dia lebih dari ini dia boleh buat, saya tak nak. Biar dia (buat pilihan) sendiri lebih bagus.

“Sekarang ini saya nak dia dapatkan pendidikan, kesedaran, ada ilmu untuk dia, itu saja saya perlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast