Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Lembaga Tabung Haji (TH) menyelesaikan segera isu kakitangan TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) yang dilarang memakai songkok dan kopiah ketika bertugas.

Menterinya  Idris Ahmad menjelaskan, etika pemakaian songkok dan kopiah oleh kakitangan hotel ketika bertugas tidak sepatutnya menjadi satu isu.

Beliau juga mengesahkan sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, semalam dan meminta perkara itu diselesaikan dengan segera.

“Tiada masalah sebenarnya (memakai songkok dan kopiah ketika bertugas) asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutup aurat dan seragam.

“Saya meminta CEO TH segera menyelesaikan isu ini,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook beliau, semalam.

Beliau mengulas satu memorandum bertarikh 14 Januari lalu dikeluarkan pihak pengurusan THKJ yang antara lain meminta semua kakitangan hotel itu untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas kecuali sewaktu menunaikan solat.

Memorandum itu yang turut dikongsikan Idris melalui Facebook, ditandatangani oleh Pengurus Hotel THKJ, Mohamad Nazrul Nazib Nasihin.

Ketika mendapatkan penjelasan daripada Amrin berhubung memorandum terbabit, Idris berkata, beliau dimaklumkan bahawa ia dikeluarkan tanpa maklum balas daripada pihak pengurusan TH terlebih dahulu.

“Lepas balik dari solat isyak, saya mendapat maklumat mengenai memorandum THKJ. Terus hubungi CEO TH.

“Ini maklum balas CEO kepada saya. Memo dikeluarkan oleh pengurus hotel tanpa maklum balas (pengurusan TH),” katanya. – MalaysiaGazette