Pekerja dilihat menyusun sayur-sayuran selepas syarikat tersebut menyediakan penghantaran barang basah di HSA Cheaper Mart, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Terkejut! Itu reaksi pengguna apabila mendapati harga sayur-sayuran seperti tidak masuk akal.

Rata-rata pengguna mengeluh apabila sayur kacang buncis yang dibeli minggu lalu berharga RM16 sekilogram, hari ini mencecah RM25 sekilogram.

Pertanyaan yang diajukan kepada peruncit, akhirnya tidak menemui titik penyelesaian kerana ia bukan ditentukan oleh mereka.

“Awak pergi tanya pembekal. Jangan tanya pemborong atau peniaga kecil macam kami.

“Kami jual RM25 untuk sekilogram, untung kami bukannya banyak, ada hari ‘ngam-ngam’ sahaja,” katanya yang enggan dikenali.

Jelasnya, peniaga kecil sering dibebani dengan persoalan mengenai kenaikan sedangkan bukan mereka yang menjadi penentu kepada naik turun harga satu-satu barang.

“Barang sampai kepada kami pada harga tinggi. Pemborong kata mereka untung 50 sen saja, kami ni untung 30 sen untuk satu-satu barang.

“Sebagai peruncit, kami pun tertekan. Tolonglah tanya pembekal.

“Kenapa kerajaan asyik minta peniaga turun harga, tapi pembekal tekan harga pada kami, tak ada pula tindakan dikenakan kepada mereka?, ujarnya lagi.

Jelasnya, ada beberapa pelanggannya bertindak memboikot kedai runcitnya dan hanya pergi ke pasar raya untuk membeli.

“Apabila terjadinya perkara ini, siapa nak kasihan perniagaan kami?

“Kalaulah kerajaan boleh bantu sekat pembekal tidak menaikkan harga, rasanya semua perkara ni tak jadi,” katanya lagi.

Katanya, tindakan kerajaan yang tidak memantau pembekal sebaliknya hanya turun ke kedai-kedai kecil adalah sangat tidak adil.

“Penguat kuasa datang ke kedai, minta kami letak harga pada setiap barang, bila ada harga tinggi, kami yang dipersalahkan.

“Sudah banyak kali saya cakap, dapat harga mahal, tapi mereka kata biarlah win win situation.

“Adil ke tu? Jangan cakap pasal aduan, sebab kami peniaga ni dah tak larat nak buat aduan pasal pembekal, semua tu macam tak ada apa-apa pun, senang cakap kerajaan tak peduli nasib kami peniaga kecil,” jelasnya.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa kedai runcit sekitar Subang Jaya dan Puchong mendapati harga sayur-sayuran mengalami kenaikan melampau bermula minggu lalu.

Selain sayur-sayuran, harga barangan kering juga mengalami kenaikan harga.

Rakyat semakin tertekan dengan isu ini, semua naik harga. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast