Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga kiri) dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) melihat replika bangunan FAM pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyumbangkan RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun ini, umum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan komited dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik bagi membantu perkembangan mutu bola sepak negara.

“Bola sepak adalah sukan yang paling popular. Bola sepak menjadi sukan nombor satu negara. Bak kata orang, Keluarga Malaysia makan bola, tidur bola, tengah kerja pun bola. Bola sepak turut terbukti menyatukan Keluarga Malaysia.

“Saya juga peminat sukan bola sepak dan sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak negara, Harimau Malaya. Pasukan bola sepak negara ini mempunyai peminat yang ramai dan memiliki penyokong yang setia iaitu Ultras Malaya. Peminat dan penyokong ini sentiasa dahagakan kejayaan skuad negara sama ada di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun antarabangsa.

“Kerana itu, sentiasa menjadi harapan peminat dan penyokong Harimau Malaysia agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Dalam bola sepak, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata. Bola sepak negara hanya akan maju apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.

“Bagi menunjukkan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara, saya mengumumkan kerajaan akan menyumbangkan sebanyak RM10 juta kepada FAM, tahun ini,” katanya.

Model bangunan FAM pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Turut hadir beberapa barisan menteri Kabinet dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Sementara itu, pembinaan Ibu Pejabat FAM yang baharu itu akan bermula pada tahun ini dan merupakan ibu pejabat ketiga FAM.

Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya hari ini telah beroperasi sejak lewat 1980.

Ibu pejabat di atas tapak seluas enam ekar itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berharap majlis pecah tanah itu merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM kerana bakal menyediakan pelbagai fasiliti.

Namun begitu,beliau berkata, seperti juga mana-mana organisasi kerajaan mahu pun bukan kerajaan, pembangunan perisian atau ‘software’ dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara. – MalaysiaGazette