Remaja yang dimandikan ala jenazah selepas didakwa mencuri tabung masjid. Sumber gambar Internet

TULAR kisah seorang remaja yang dikatakan mencuri duit tabung masjid dan dimandikan ala jenazah oleh kariah masjid baru-baru ini. Benar ia satu perbuatan jenayah tetapi kuasa menjatuhkan hukuman bukan di tangan kita. Ini sangat jelas. Undang-undang telah menggariskan dengan terang dan nyata bahawa penguatkuasaan dan kuasa menjatuhkan hukuman terletak di bahu polis dan mahkamah.

Masyarakat masa kini pantas menghukum, baik dari segi tindakan mahu pun komen di media sosial. Lebih mengeruhkan keadaan sentiasa ada tukang rakam yang akan bertindak menularkan sesuatu insiden. Setiap individu mempunyai hak untuk tidak diaibkan meskipun dia seorang penjenayah. Layanlah dengan saksama kerana seseorang adalah tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah.

Meskipun dalam kes ini remaja terbabit membuat pengakuan bersalah dan dijatuhkan hukuman 10 hari penjara dan denda sebanyak RM4,000, cara remaja tersebut diperlakukan dengan videonya disebarkan di media sosial adalah sangat tidak beretika. Jangan kerana kejarkan “content” dan populariti, kita sanggup mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan.

Dalam kes Bishambher Roomal AIR (1951) All 500, sekumpulan ahli jawatankuasa kampung yang dikenali sebagai “panchayat” telah menjatuhkan hukuman menghitamkan muka pelaku kesalahan cabul dan dia diarak di atas keldai mengelilingi kampung dan dibaling dengan kasut (shoe-beating).

Walau bagaimanapun kes ini dianggap satu pengecualian di mana tindakan ahli jawatankuasa kampung tersebut dianggap wajar demi mengelakkan tindakan yang lebih buruk ke atasnya dari sekumpulan ahli masyarakat yang bersenjatakan ‘lathi’ dan mendapat persetujuan bertulis daripadanya.

Kedua-dua kes ini adalah berbeza sama sekali. Konteks masyarakat dan jenis kesalahan menjadi perbedaan utama. Yang paling utama, “panchayat” mempunyai autonomi untuk menyelesaikan hal-hal yang berkaitan dengan masyarakat setempat pada waktu itu. Justeru, adalah wajar untuk kita membiarkan pihak yang diamanahkan untuk melunaskan tanggungjawab mereka.

Hormati undang-undang negara dan hak individu yang diangkat sebagai hak asasi manusia. Pengakuan daripada ahli keluarga pelaku bahawa dia mempunyai kecenderungan mencuri dan terjebak dengan dadah tidak harus menghalalkan tindakan segelintir daripada kita kerana kita tidak diberikan kuasa untuk bertindak dan mengambil tindakan dalam apa jua keadaan.

Undang-undang harus dihormati. Hukuman yang digariskan dalam Kanun Keseksaan itu sendiri bersifat ‘retributive’ dan ‘punitive’ yakni menghukum. Maka yakinilah keberkesanannya.

Oleh: Dr. Shamshina Mohamad Hanifa
Pensyarah Undang-undang Jenayah
Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM