A. Shivan Pillay. Foto Facebook PJ City FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Liga Super, PJ City FC memperkenalkan tujuh pemain baharu kelab tersebut bagi menghadapi Liga Malaysia pada musim ini.

Antara yang diumumkan ialah pemain tengah berpengalaman, Mohamad Nasir Basharudin yang dilihat dapat menambahkan lagi kekuatan di jentera tengah PJ City di mana masih lagi mengekalkan polisi 100 peratus pemain tempatan buat musim kedua mereka.

Nasir yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia bersama Perak pada musim 2018 meninggalkan negeri kelahirannya itu pada musim 2020 untuk menyarung jersi Terengganu FC.

Ini bermakna PJ City FC menjadi pasukan ketiga diwakili pemain berusia 32 tahun itu sepanjang karier profesionalnya.

Kelab yang menamatkan kempen Liga Super 2021 di tangga ketujuh itu turut membawa masuk tonggak utama pasukan masing-masing seperti R. Barathkumar dan R. Aroon Kumar dari Negeri Sembilan serta S. Kumaahran iaitu pemain pinjaman Melaka United dari JDT.

Selain itu, khidmat bekas penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri bersama-sama A. Shivan Pillay (Selangor) dan Marcus Mah Yung Jian dari Penang FC turut ditagih sekali gus melengkapkan tujuh pemain baharu skuad bimbingan P. Maniam itu.

PJ City bakal memulakan kempen Liga Super Malaysia 2022 dengan aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bertemu semi finalis Piala Malaysia musim lalu, Melaka United. – MalaysiaGazette