Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt. Dr. Bakri Zainal Abidin memeriksa penunggang motosikal di laluan Selayang semasa mengadakan dalam Ops Utama P-Hailing Lampu Merah di hadapan dengan Pasar Selayang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2022.

SELAYANG – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan melakukan operasi agresif terutama melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat pada tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, fokus akan diberikan kepada penunggang motosikal kerana mereka banyak terlibat dalam kemalangan.

“Setiap operasi yang dijalankan bertujuan memberi kesedaran kepada penunggang motosikal untuk tidak melakukan kesalahan lalu lintas terutamanya melanggar lampu isyarat kerana kesannya amat besar, mereka boleh melanggar dan juga boleh dilanggar, seterusnya melibatkan kerugian yang besar,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt. Dr. Bakri Zainal Abidin. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memantau Op Utama P-Hailing Lampu Merah di susur Kilometer 14, Jalan Selayang-Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Bakri, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,669 operasi melibatkan motosikal telah dijalankan berbanding 1,027 operasi pada tahun 2020.

Menurut beliau, langkah kepolisan lebih agresif akan diambil melalui pendekatan penguatkuasaan secara menyeluruh, advokasi serta kerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Berdasarkan statistik sepanjang tahun lalu, sebanyak 28,649 saman kerana tidak mematuhi lampu isyarat telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal di seluruh negara daripada jumlah keseluruhan 840,733 saman.

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 7,860 saman diikuti 4,276 saman di Pulau Pinang manakala Johor (2,989), Perak (2,737) dan Kuala Lumpur (2,333).

Sementara itu, Melaka merekodkan sebanyak 2,226 saman, Kedah (2,220), Kelantan (1,427), Negeri Sembilan (1,031), Terengganu (458), Pahang (426), Sarawak (245) dan Sabah (75).

Katanya lagi, sebanyak 67 peratus kemalangan jalan raya di negara ini disumbangkan oleh penunggang motosikal.

“Berdasarkan operasi yang dijalankan, kita dapati faktor sikap juga memainkan peranan apabila mereka merasakan tiada anggota yang bertugas mengawal lalu lintas ketika itu jadi mereka terus melanggar lampu isyarat.

“Sebab itu kita tekankan mengenai kesedaran kepada kumpulan penunggang motosikal ini untuk mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette