Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Negeri Sarawak untuk tidak memerlukan permohonan EnterSarawak untuk memasuki negeri tersebut disambut baik oleh Lembaga Pelancongan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharzede Salleh Askor berkata, status terbaharu ini akan menjadikan perjalanan ke Sarawak lebih lancar.

Yang lebih penting pengumuman tersebut dapat membantu sektor pelancongan negeri ini pulih.

“Kami yakin langkah ini akan memberi kesan yang baik untuk seluruh negeri, dan untuk perkembangan sektor pelancongan Sarawak. Dengan ini, kami akan mempergiatkan mempromosikan destinasi pelancongan ke pasaran domestik pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mulai 14 Januari 2022, rakyat Malaysia yang ingin memasuki Sarawak tidak perlu lagi memohon EnterSarawak, jika mereka tidak mempunyai sejarah melancong ke luar negara sejak 14 hari yang lalu.

Pengumuman ini dibuat oleh Jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan kelonggaran ini juga diberikan kepada individu bukan warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini selama dua minggu.

Walau bagaimanapun, mengikut keperluan perjalanan, mereka yang memasuki Sarawak diwajibkan mengisi borang pengisytiharan e-Kesihatan.

Individu mesti lengkap divaksin dan status vaksinasi mereka akan disemak di lapangan terbang. – MalaysiaGazette